Bagi golongan mat rempit yang menggila beraksi tanpa ada rasa sayang terhadap nyawa, sudah tiba masanya mereka kembali ke pangkal jalan.
Masakan tidak, jika masih berdegil, mereka berdepan dengan hukuman denda mencecah RM10,000 dan penjara jika disabitkan kesalahan.
Bukan setakat itu sahaja, ibu bapa dan mekanik serta pengusaha bengkel terbabit juga akan diheret sekali ke muka pengadilan, termasuk berdepan hukuman.
Ini berikutan Kementerian Pengangkutan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dengan menaikkan denda sehingga RM10,000 berbanding RM300 yang dikenakan sekarang bagi kesalahan mengubahsuai ekzos dan enjin motosikal.
Selain itu, mereka yang menyertai lumba haram juga bakal berdepan hukuman penjara mengikut peruntukan baharu dalam akta berkenaan, jika disabitkan bersalah di mahkamah.
Malah, dalam cadangan pindaan itu, ibu bapa yang membenarkan motosikal mereka digunakan untuk tujuan lumba haram dan pengusaha bengkel yang melakukan pengubahsuaian kepada kenderaan dua roda itu juga boleh dikenakan denda.
Sementara itu, Harian Metro melaporkan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, cadangan itu adalah wajar bagi mencegah aktiviti berkenaan.
Bagaimanapun, dia berpendapat kerajaan perlu mewujudkan satu inisiatif lain but golongan muda untuk mereka melakukan hobi bermotosikal.
“Antaranya ialah mewujudkan lebih banyak litar motosikal, dengan adanya litar motosikal ini mereka boleh mempamerkan bakat sukan permtoran ditempat yang betul.
“Litar yang ada kini tidak mencukupi, malah penyelenggaraan juga tidak bagus selain caj yang dikenakan terlalu tinggi,” katanya. – JURNAL