Australia bakal menggubal undang-undang untuk melarang individu bawah usia 16 tahun daripada menggunakan media sosial, ujar Perdana Menteri Anthony Albanese. Menurut beliau, langkah ini diambil untuk menangani “mudarat” media sosial terhadap kanak-kanak, dengan undang-undang tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini.
“Media sosial membawa kesan mudarat kepada kanak-kanak, dan kini tiba masanya untuk bertindak menghentikan penggunaannya,” katanya dalam sidang media.
Jika diluluskan, perundangan ini akan berkuat kuasa dalam tempoh 12 bulan dan mewajibkan platform sosial memikul tanggungjawab memastikan golongan bawah umur tidak dapat mengakses perkhidmatan mereka.
Malah, undang-undang tersebut tidak akan membenarkan pengecualian kepada pengguna bawah 16 tahun, walaupun dengan kebenaran ibu bapa.
“Ini bermakna platform media sosial perlu menunjukkan usaha atau tanggungjawab mereka untuk mengelakkan akses yang tidak dibenarkan atau berbahaya. Tanggungjawab itu bukan pada ibu bapa atau kanak-kanak,” jelas Albanese.
Platform yang terkesan termasuk Instagram, Facebook, TikTok, dan X, serta YouTube, tambah Menteri Komunikasi Michelle Rowland. Setakat ini, tiada kenyataan lanjut diberikan oleh syarikat-syarikat tersebut.
Langkah tegas Australia ini mengikuti jejak beberapa negara yang juga merancang sekatan terhadap kanak-kanak di media sosial, namun peraturan yang diusulkan di Australia dijangka antara yang paling ketat.
Sebagai perbandingan, Perancis baru-baru ini mencadangkan larangan media sosial untuk kanak-kanak di bawah 15 tahun, tetapi masih membenarkan akses dengan izin ibu bapa.
Di Amerika Syarikat pula, peraturan menetapkan kebenaran ibu bapa bagi data kanak-kanak bawah 13 tahun, mendorong banyak platform untuk mengehadkan akses kepada golongan ini. – JURNAL
Sumber: Berita Harian