Anak syarikat hospitaliti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Attana Hotels & Resorts Sdn Bhd (AHR), berjaya meraih enam anugerah berprestij pada Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2024, baru-baru ini.
AHR, yang menguruskan tujuh kumpulan hotel, resort, dan kelab golf, diiktiraf sebagai Pengurusan Hotel dan Hartanah Terbaik.
Di bawah naungannya, Perdana Kuala Lumpur City Centre (PKLCC) dinobatkan sebagai Hotel Bandar Keluarga Terbaik, manakala Perdana Kota Bharu (PKB) menerima anugerah Hotel Terbaik Bandar di Pantai Timur.
Selain itu, Espira Kinrara meraih gelaran Hotel Perniagaan Tiga Bintang Terbaik; Villea Port Dickson (VPD) dianugerahkan sebagai Resort Mesra Alam Terbaik, dan Kota Seriemas Golf & Country Club (KSGCC) diiktiraf sebagai Lokasi Golf Terbaik.
Ketua Pegawai Operasi AHR, Ron Hasni Yusoff, menyatakan bahawa anugerah ini mengiktiraf kecemerlangan kemudahan dan standard perkhidmatan luar biasa AHR.
“Ia adalah bukti keupayaan kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penginapan kelas premium, menawarkan hospitaliti terbaik, perkhidmatan dan tempat makan terbaik secara bertanggungjawab dari segi ekologi,” katanya.
Ron Hasni juga menambah bahawa anugerah ini akan menjadi pemacu semangat bagi kakitangan AHR untuk terus meningkatkan tahap perkhidmatan, khususnya dalam usaha mengutamakan kemampanan melalui program tanggungjawab sosial, Sayang Earth.
“Pengalaman hospitaliti Malaysia yang kami tawarkan, dari penginapan hingga ke masakan, adalah apa yang membezakan kami daripada pesaing,” ujarnya. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian