Kecoh mengenai pasangan Rusia yang dipercayai telah menceroboh sebelum memanjat Menara Merdeka 118 baru-baru ini.
Di saat menghadapi kecaman akibat perbuatan tersebut, wanita Rusia yang juga atlet akrobat, Angela sebelum itu sempat memuat naik hantaran di akaun Instagram miliknya.
Dalam hantaran tersebut, dia dilihat santai duduk di bahagian bucu atas menara kedua tertinggi di dunia itu di samping menceritakan bahawa ia merupakan satu pengalaman paling sukar dalam hidupnya.
View this post on Instagram
A post shared by A N G E L A N I K O L A U | C R E A T O R (@angela_nikolau)
“Saya telah memanjat menara kedua tertinggi di dunia, Menara Merdeka! Ia adalah pencakar langit tercantik yang pernah saya kunjungi,” katanya.
Sementara itu, menerusi hantarannya di Twitter pula, Angela berkata, Menara Merdeka 118 merupakan sebuah bangunan hebat pernah dikunjunginya setakat ini dan Kuala Lumpur merupakan sebuah bandar menakjubkan, terutama sekali dengan pemandangan yang mempesona.
Angela juga menganggap ia sebagai penghormatan buat dirinya dan teman lelaki, Ivan Beerkus yang telah lama mengimpikan berbuat demikian.
Dalam perkembangan lain, polis akan menjalankan siasatan terhadap pasangan dari Rusia berkenaan atas tindakan yang mereka lakukan.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya akan memanggil pasangan terbabit untuk dirakam keterangan.
Terdahulu, gambar dan klip video Ivan dan Angela dari atas puncak bangunan kedua tertinggi di dunia itu dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com dan tular. Pasangan tersebut dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.
Sementara itu, PNB Merdeka Ventures menerusi satu kenyataan berkata, mereka akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung siasatan dijalankan. – JURNAL