Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu wang hampir AS$20 juta daripada ‘Prince Faisal Turkey’ atau Putera Faisal Turki Bandar Al-Saud, dimasukkan ke dalam akaun AmPrivate Banking MR milik Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, 67, mengesahkan perkara itu selepas dirujuk salinan dokumen transaksi Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Sedunia (SWIFT) pada Februari dan Jun 2011 masing-masing membabitkan AS$9,999,977 dan AS$9,999,970 daripada putera berkenaan ke dalam akaun itu.
Peguam bela bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga merujuk salinan urus niaga SWIFT pada Ogos 2011 membabitkan AS$49,999,988 daripada Kementerian Kewangan Riyadh dan satu lagi transaksi AS$29,999,988 daripada agensi kewangan Arab Saudi pada November 2011.
Kedua-dua urus niaga berkenaan dikatakan untuk manfaat akaun sama.
Ketika pemeriksaan balas, Muhammad Shafee bertanya sama ada wang terbabit adalah jumlah sama dinyatakan dalam surat derma kerabat diraja Arab Saudi sebelum Zeti menjawab ‘ya’. Namun, saksi terbabit tidak dapat mengesahkan individu yang menghantar derma berkenaan.
Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Selain itu, Zeti mengesahkan tidak memaklumkan kepada Najib yang juga bekas Menteri Kewangan, mengenai syor BNM supaya tiga pegawai kanan 1MDB didakwa.
Tiga pegawai 1MDB itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Ketua Pegawai Pelaburan, Nik Faisal Ariff Kamil; serta bekas Pengarah Eksekutif, Casey Tang Keng Chee.
Bagaimanapun, beliau berkata, taklimat berhubung syor berkenaan diberikan kepada bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Mengenai persoalan adakah Najib tahu apa yang terjadi pada 1MDB, Zeti berkata, BNM memaklumkan sebanyak dua kali kepada bekas Perdana Menteri itu mengenai hutang syarikat berkenaan yang tinggi.
“Dari semasa ke semasa, (bekas) Menteri Kewangan (Najib) dimaklumkan bahawa BNM tidak boleh mendapatkan maklumat mengenai pelaburan dana (1MDB),” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, bersambung petang. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE