Apple kini menawarkan diskaun eksklusif sehingga ¥500 (kira-kira RM315) bagi beberapa model iPhone terbaharu di China, sebagai usaha mempertahankan penguasaannya di pasaran yang semakin mencabar. Promosi yang jarang berlaku ini berlangsung selama empat hari, bermula 4 hingga 7 Januari 2025. Ia terpakai untuk pembelian melalui kaedah tertentu seperti WeChat Pay atau Alipay.
Antara model yang menerima potongan harga ialah iPhone 16 Pro dan iPhone 16 Pro Max, masing-masing dengan diskaun maksimum ¥500. Sementara itu, iPhone 16 dan iPhone 16 Plus diberikan pengurangan harga sebanyak ¥400. Model lama iPhone, bersama produk lain seperti MacBook dan iPad, turut menerima diskaun antara ¥200 hingga ¥300.
Strategi ini hadir di tengah-tengah keadaan ekonomi China yang perlahan, di mana pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan. Dalam masa yang sama, Huawei muncul sebagai pesaing utama dengan peningkatan besar dalam pasaran premium menggunakan cip buatan tempatan. Sejak Ogos 2023, Huawei agresif menawarkan harga lebih rendah untuk pelbagai peranti mewah, termasuk potongan sehingga ¥3,000.
Tahun lalu, Apple berhadapan tekanan apabila jualannya di China untuk suku ketiga 2024 mencatat penurunan 0.3% berbanding tempoh sama sebelumnya. Dalam tempoh yang sama, Huawei melonjak dengan pertumbuhan jualan sebanyak 42%, menurut kajian firma IDC.
Melalui promosi ini, Apple berharap untuk menawan semula hati pengguna China, pasaran telefon pintar terbesar dunia, sambil mengekang penguasaan Huawei yang semakin kukuh. Tawaran ini menjadi satu percubaan signifikan bagi Apple dalam mempertahankan reputasinya di tengah persaingan sengit. – JURNAL
Sumber: FMT