Aplikasi chatbot AI milik syarikat China, DeepSeek, kini menjadi aplikasi percuma paling banyak dimuat turun di Apple Store selepas pelancarannya di Amerika Syarikat (AS) pada Januari. Populariti mengejut ini mencetuskan kebimbangan dalam pasaran teknologi global, terutama bagi syarikat-syarikat teknologi AS.
Apa Itu DeepSeek?
DeepSeek ialah sebuah syarikat kecerdasan buatan yang diasaskan di Hangzhou, China, pada Julai 2023. Ia mula mendapat perhatian apabila melancarkan aplikasi pembantu AI di Amerika Syarikat pada 10 Januari. Dengan hanya menelan kos pembangunan sebanyak $6 juta (sekitar RM28 juta), DeepSeek berjaya menghasilkan model AI yang dianggap setanding dengan model terkemuka seperti ChatGPT tetapi pada kos yang jauh lebih rendah.
Mengapa DeepSeek Popular?
Aplikasi AI DeepSeek menjadi pilihan ramai kerana mampu menjawab soalan dan memperbaiki penulisan pengguna dengan gaya yang “lebih berpersonaliti”.
Impak terhadap Syarikat Teknologi AS
Kejayaan DeepSeek turut memberi tekanan kepada syarikat teknologi AS, khususnya Nvidia. Saham Nvidia menyaksikan kejatuhan besar pada 27 Januari, merosot sehingga 17%, dengan kehilangan nilai pasaran sebanyak $600 bilion (sekitar RM2.8 trilion). Kejadian ini merupakan kejatuhan terbesar dalam satu hari bagi mana-mana syarikat AS dalam sejarah.
DeepSeek membuktikan bahawa pembangunan AI tidak semestinya memerlukan belanja besar atau cip teknologi tinggi seperti keluaran Nvidia. Perkembangan ini mencetuskan ketidakpastian besar terhadap keperluan cip berprestasi tinggi untuk masa depan industri AI.
Dengan kejayaannya yang luar biasa, DeepSeek kini dilihat sebagai pencabar besar yang mungkin menggugat dominasi AI global oleh syarikat-syarikat AS. – JURNAL