Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kembali ke pejabat menyambung tugasan usai menjalani pemeriksaan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pagi tadi.
Menurut beliau selesai pemeriksaan itu, doktor mengesahkan kesihatannya berada pada tahap yang baik.
Perkara tersebut disahkan Anwar menerusi sebuah kenyataan di laman sosial rasmi beliau pada Ahad.
Dalam foto yang dikongsi bersama, kelihatan beliau berbincang dengan Nurul Izzah yang merupakan Penasihat Kanan Ekonomi Perdana Menteri dan Setiausaha Politik Kanan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohamad Akin.
“Saya langsung menyambung tugasan bersama staf,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata Anwar dijadual menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves pagi tadi, namun tidak dapat berbuat demikian kerana beliau tidak sihat.
“Perdana Menteri sepatutnya hadir ke sambutan Thaipusam (di Batu Caves) hari ini, namun beliau menghubungi saya pagi tadi memaklumkan beliau tidak sihat dan terpaksa pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya. – JURNAL