Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memohon rakyat Malaysia untuk menitipkan doa agar misi kerja beliau ke empat negara berjalan lancar. Anwar dan delegasi Malaysia kini berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai destinasi pertama dalam lawatan kerja yang dimulakan hari ini.
“Isnin hari permulaan yang sangat penting, mohon dititipkan doa agar semua dirancang berjalan lancar dengan hendak-Nya, Insya-Allah,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.
Di UAE, Anwar akan menyertai Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW) serta menghadiri beberapa mesyuarat penting sehingga Selasa.
Selepas UAE, Anwar dijangka terbang ke London, United Kingdom, untuk bertemu dengan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer. Lawatan itu diikuti pertemuan di Brussels, Belgium, sebelum beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland.
Lawatan ini dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan membuka peluang baharu untuk negara. – JURNAL