Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi amaran terakhir kepada semua pihak, termasuk pemimpin politik tanpa mengira pangkat dan kedudukan supaya berhenti memainkan isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R), semata-mata untuk mengekalkan serta meraih kuasa.
Perdana Menteri berkata, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan memantau semua isu berkaitan 3R yang dibangkitkan, dan akan mengambil tindakan jika didapati menimbulkan huru-hara dan mengorbankan kepentingan rakyat pelbagai kaum serta agama di negara ini.
“Jadi setakat ini, cukup mesej ini. Ini maknanya amaran terakhir daripada kerajaan. Saya selaku perdana menteri tidak ada pilihan lain kerana desakan daripada kalangan, berfikir untuk pertahankan keselamatan negara.
“Ini mengatasi kepentingan kerana orang tertentu merasakan kedudukan mereka terlalu tinggi dan hebat. Tidak mungkin terdakwa atau tercabar. Kita tidak boleh pandang dan pilih kedudukan, pangkat, keturunan atau kekayaan.
Kalau begini pandangan, ia merosakkan.
“Saya anggap keadaan ini sudah sampai agak serius kerana sudah puluhan tahun, kita belum nampak dan lihat kenyataan yang melampau dan dibiarkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, isu 3R yang dibangkitkan bukan saja mendapat perhatian kerajaan dan parti politik, malah dalam perbincangan Majlis Raja-Raja.