Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
Beliau dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu berkata, semoga kelebihan madrasah Ramadan tahun ini akan mengangkat martabat dan harakat insan dari sudut akhlak serta integriti.
“Mari bersama kita berdoa sambil meningkatkan usaha mencapai berkah-Nya sepanjang bulan ini.
“Dari Tanah Suci saya dan Azizah mendoakan Malaysia akan terus makmur, sejahtera dan sentiasa dalam lindungan Allah SWT,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengajak semua unat Islam untuk menyebarkan mesej bulan Ramadan yang mengangkat nilai kesederhanaan dan kemanusiaan merentasi sempadan agama.
“Marilah kita menyemarak amal jariah dan kasih kepada golongan yang kurang berkemampuan,” ujarnya.
Perdana Menteri dan isteri bersama delegasi dari Malaysia juga telah selesai melaksanakan ibadah umrah semalam, pada petang waktu Malaysia.
Turut mengiringi Perdana Menteri bagi mengerjakan ibadah umrah ialah Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta delegasi Malaysia.
Semalam beliau juga sempat mendoakan kesejahteraan buat rakyat, negara serta usaha menjadikan Malaysia kembali kuat dan gah diberkati Allah S.W.T.
Sebelum itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan selamat tiba di negara Timur Tengah itu sekitar 6.40 pagi waktu tempatan bagi memulakan lawatan rasmi.
Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja tiga hari di negara itu atas undangan kerajaan Arab Saudi.
Sebaik tiba Anwar disambut Gabenor Jeddah, Putera Saud bin Abdullah bin Jalawi Al Saud dalam upacara sambutan rasmi dengan kawad statik.
Ia merupakan lawatan rasmi negara luar Asean pertama bagi Anwar selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 November tahun lepas. – JURNAL