Dua ekor anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Denti dan Frankie, menjadi sandaran misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.
Selain Denti dan Frankie, penghantaran pasukan penyelamat kedua dari Malaysia turut disertai 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), 30 anggota JPBM dan 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Tujuan kita bawa anjing pengesan ini adalah untuk memaksimumkan tugasan apabila berada di sana nanti (kerana) peranan anjing pengesan ini sangat membantu dalam usaha mengesan lokasi di mana mangsa berada.
“K9 ini adalah antara pasukan atau unit yang termasuk dalam misi mencari dan menyelamat SMART, jadi mereka ini memang bersedia untuk di atur gerak ke mana-mana (lokasi di) luar negara,” kata Ketua Komander Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Ismail Abd Ghani kepada media semasa pelepasan misi SAR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada malam Rabu.
Beliau berkata kedua-dua anjing dipilih menyertai misi itu kerana memiliki kepakaran mencari mangsa hidup dan mayat.
Ditanya sama ada Denti dan Frankie mampu bertahan dalam penerbangan ke Istanbul yang dijangka mengambil masa 11 jam, Ismail berkata perkara itu tidak menjadi masalah.
“Anjing ini antara penilaian semasa perolehan dulu adalah ia boleh dibawa melalui penerbangan udara, jadi tidak ada masalah untuk penerbangan yang lama kerana kita dah uji sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata Denti dan Frankie sebelum ini pernah terlibat dalam operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Dis lepas.
Katanya Denti, anjing daripada baka Labrador, dan Frankie daripada baka English Springer Spaniel, masing-masing akan dikendali oleh pegawai bomba Tony Anak Albert Mani dan Y.Thibagaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali pula berkata kedua-dua anjing itu akan dibawa bersama untuk memastikan pasukan penyelamat Malaysia dapat melaksanakan operasi SAR dengan lebih berkesan.
Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut beribu-ribu nyawa.
Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.
Angka kematian akibat gempa bumi dahsyat di selatan Turkiye meningkat kepada sekurang-kurangnya 7,108 orang manakala jumlah mangsa yang cedera ialah 40,910 setakat ini.
Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar. – JURNAL
Sumber: BERNAMA