Malaysia kehilangan seorang tokoh besar dunia korporat, Tan Sri T. Ananda Krishnan, yang meninggal dunia pada usia 86 tahun. Taikun perniagaan ini dikenang sebagai pemimpin yang merubah landskap media, telekomunikasi, dan hiburan negara melalui syarikat-syarikat ikonik yang diasaskannya.
Ananda Krishnan mula membina empayarnya melalui Usaha Tegas Sdn Bhd, syarikat pelaburan yang ditubuhkan pada 1984. Syarikat ini kemudian berkembang menjadi pemacu utama beberapa industri penting seperti telekomunikasi, televisyen satelit, dan pembangunan hartanah.
Jenama-jenama terkenal seperti Maxis Bhd, Astro Holdings, Measat Satellite Systems, TGV Cinemas, Bumi Armada, dan Tanjong Plc adalah antara legasi yang ditinggalkan. Menerusi syarikat-syarikat ini, Ananda bukan sahaja memberi sumbangan kepada ekonomi tetapi turut membentuk budaya masyarakat Malaysia.
Pemergian beliau diratapi, namun legasi yang ditinggalkan akan terus dikenang sebagai inspirasi kepada generasi akan datang. Ananda Krishnan adalah simbol keunggulan dalam inovasi dan ketabahan untuk membawa perubahan besar dalam industri strategik negara. – JURNAL