Sanggup ibu bapa meninggalkan anak kecil dalam kereta dan dibiarkan kepanasan dalam keadaan cuaca negara yang sememangnya tengah panas ini.
Menerusi hantaran Facebook dibuat pengguna bernama Nana Nandos, dia berkongsi detik dirinya menjumpai dua kanak-kanak kembar yang ditinggalkan di dalam kereta dengan enjin yang bertutup.
Didakwa, kedua anak kecil itu ditinggalkan ibu bapanya yang pergi beraya ke rumah kenalan mereka.
Anak-anak ditinggalkan di dalam kereta berkunci untuk beraya ke rumah terbuka. Enjin kereta dimatikan hanya tingkap di buka sedikit. Terdengar tangisan budak dari dalam kereta, anak kembar dalam keadaan takut dan menangis.
Nana kemudiannya memaklumkan bahawa ibu bapa kepada anak kembar itu muncul selepas hampir 30 minit mereka menunggu.
Namun apa yang menggeramkan Nana ialah riak wajah yang ditunjukkan ibu kepada dua anak yang seakan tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Sempat berikan air kotak untuk tenangkan mereka dan tunggu lebih kurang 30 minit untuk ibu ayah mereka kembali.
“Eh, ibu ayah dengan datuk nenek sekali pergi beraya, cucu biar dalam kereta ek? Dapatlah angkat tangan sambil sengih-sengih kerang manja daripada ibu ayah. Mak dia, buat bodoh, muka tak bersalah,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tambah Nana, dia seakan-akan tidak percaya kejadian itu boleh berlaku, tetapi selepas menyaksikannya dengan mata sendiri, barulah tahu memang wujud ibu bapa sebegini. – JURNAL