Mengadu sakit dada dan mendapatkan rawatan di hospital membongkar perbuatan terkutuk seorang ‘haruan makan anak’.
Remaja berusia 15 tahun itu sebelum ini tidak berani menceritakan dia dan adik berusia 12 tahun menjadi mangsa rogol bapa kandung mereka sejak tahun 2017.
Sehinggalah pada Isnin lalu, mangsa mengadu sakit dada sebelum menjalani pemeriksaan di hospital.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, hasil pemeriksaan pegawai perubatan di hospital terbabit mendapati mangsa sebenarnya sedang hamil.
“Berikutan itu satu laporan polis dibuat dan suspek ditangkap semalam (Selasa) untuk siasatan lanjut.
“Suspek direman seminggu bermula semalam. Polis sedang merekodkan keterangan mangsa untuk melengkapkan siasatan,” katanya.
Suspek yang berusia 53 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan terkutuk tersebut sejak kira-kira tujuh tahun lalu dengan kejadian terakhir dikatakan berlaku awal bulan ini.
Difahamkan suspek didakwa merogol seorang mangsa sejak berusia sembilan tahun dan perbuatan berkenaan dikatakan kerap kali berlaku di rumah mereka.
Sepanjang tempoh berkenaan, dua beradik itu sering dijadikan hamba seks bapa mereka.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan maksimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN