Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir yang melanda negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung, dari Perlis hingga Johor.
Menurut kenyataan di portal X, amaran ini melibatkan Perlis, beberapa daerah di Kedah seperti Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Kuala Muda dan Bandar Baharu, serta Pulau Pinang. Di Perak, daerah yang terjejas adalah Kerian, Larut, Matang, Selama, Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
“Amaran turut dikeluarkan di kawasan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Gombak, Klang, Petaling, Kuala Langat, Ulu Langat, dan Sepang. Kuala Lumpur dan Putrajaya juga tersenarai,” menurut kenyataan tersebut.
Di Negeri Sembilan, kawasan Seremban, Port Dickson, dan Rembau terjejas, manakala Melaka, Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru serta beberapa kawasan di Sarawak seperti Bintulu dan Miri juga diberikan amaran serupa.
Orang ramai dinasihatkan untuk terus merujuk laman web rasmi MET Malaysia dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.
Sehingga tengahari ini, seramai 4,788 mangsa banjir daripada 1,483 keluarga telah dipindahkan ke 40 Pusat Penempatan Sementara (PPS) di tujuh negeri. Kedah mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 1,694 orang daripada 536 keluarga, ditempatkan di 11 PPS.
Pahang pula mencatat 1,357 mangsa di tujuh PPS, diikuti Perak dengan 1,275 mangsa di 11 PPS, Melaka (208 mangsa di empat PPS), Johor (116 mangsa di empat PPS), Sarawak (105 mangsa di satu PPS), dan Selangor (33 mangsa di satu PPS). Jumlah keseluruhan mangsa banjir termasuk 1,714 lelaki dewasa, 1,678 wanita dewasa, serta 698 kanak-kanak dan bayi lelaki.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam menyatakan seramai 82,794 pegawai dan anggota agensi kerajaan berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi musim banjir yang dijangka berlaku semasa Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025.
Beliau juga memaklumkan, kesemua pegawai ini akan dibantu oleh 37,127 unit pelbagai aset dalam menjalankan tugas mereka sepanjang musim banjir. – JURNAL