Kenderaan milik Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary sekali lagi menjadi tular di media sosial selepas tersebar rakaman video memaparkan dia melanggar peraturan jalan raya.
Melalui rakaman tersebut kelihatan kereta jenis Toyota Alphard berwarna hitam dengan bernombor pendaftaran P 45 memotong kenderaan lain secara berbahaya.
Kenderaan tersebut juga dilihat memotong di kawasan laluan bergaris kembar.
Ketua Polis Daerah Setiu DSP Affandi Hussin berkata, siasatan mendapati kenderaan itu dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga pemandu kepada bekas timbalan menteri terbabit.
Menurut Affandi kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang pada 2 Julai lalu di Kilometer 67, Kampung Pak Kancil, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, Setiu.
“Pada 3 Julai kira-kira jam 7 petang telah dikesan satu video di laman sosial Facebook yang telah ditularkan oleh pemilik akaun Facebook Abu Zaid Al-Harith.
“Video tersebut memaparkan sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna hitam dengan nombor pendaftaran P 45 telah memotong kenderaan lain di garisan berkembar.
“Pemandu telah memotong kenderaan lain di kawasan garisan berkembar disebabkan ingin cepat sampai ke destinasi yang dituju bagi mengelakkan daging korban rosak,” katanya.
Tambah Affandi kenderaan itu dalam perjalanan dari Kampung Gunong Bachok di Kelantan menghala ke Kampung Sungai Merak Dalam, Bangi, Selangor untuk menghantar daging korban.
Katanya Toyota Alphard itu membawa daging korban yang dianggarkan berat lebih kurang 50 kilogram untuk diagihkan kepada penduduk sekitar kampung berkenaan.
Affandi berkata pemandu tersebut mengakui kesalahannya dan akan dipanggil pihak polis untuk rakaman percakapan pada hari ini.
“Polis juga telah mengeluarkan tindakan saman kepada pemandu kenderaan P 45 di bawah kesalahan R12(3)(A) LN167/59 iaitu memotong di garisan berkembar,” katanya.
Sebagai rekod kejadian seumpama itu bukan kali pertama membabitkan kenderaan milik Ahmad Marzuk.
Pada Sep 2021 polis menjalankan siasatan terhadap sebuah kenderaan mewah milik seorang timbalan menteri yang dipandu dalam keadaan berbahaya.
Kejadian itu berlaku kerana pemandu terbabit didakwa sedang berkejar untuk ke lapangan terbang dan memotong kenderaan di hadapannya ketika laluan tersebut mempunyai dua garisan putih berkembar.
Ahmad Marzuk kemudiannya tampil memohon maaf atas kejadian membabitkan pemandunya itu. – JURNAL
Sumber: MALAYSIA KINI