Pempengaruh Islamik, Alif Teega, atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menyalahgunakan dana awam berjumlah lebih RM63,000 menerusi dua program infaq pada April dan Jun lalu.
Alif bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi, dengan tegas menyatakan, “Saya mohon bicara.”
Alif, yang hadir bersama isterinya, Aisyah Hijanah, kelihatan tenang di kandang tertuduh sambil mengenakan baju kemeja petak.
Menurut pertuduhan pertama, Alif didakwa menyalahgunakan wang sebanyak RM36,047.35 untuk program Infaq Iftar di Makkah, Syria, dan Palestin pada 26 April lalu di sebuah bank di Jalan Kerinci, Kuala Lumpur.
Pertuduhan kedua pula melibatkan RM27,558.13 dari program JOM! SERTAI INFAQ DAGING QURBAN pada 15 Jun lalu di bank yang sama.
Atas kedua-dua pertuduhan, Alif didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan sehingga maksimum lima tahun, bersama sebatan dan denda jika disabit kesalahan.
Pada Julai lalu, Alif dan isterinya telah direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya berhubung kes salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.
Dua lelaki lain yang disyaki terlibat turut ditahan dalam kes ini. Mereka kemudian mencabar penahanan tersebut melalui semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, namun permohonan ditolak oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, yang mendapati perintah reman itu sah mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Alif melalui peguamnya sebelum ini menafikan semua tuduhan penyelewengan yang tular di media sosial, menegaskan bahawa dia dan isterinya tidak pernah menggunakan dana tersebut untuk kepentingan peribadi. – JURNAL
Sumber: Berita Harian