Laluan perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 semakin berliku apabila terpaksa melupakan dua kejohanan terdekat, iaitu Terbuka India dan Indonesia Masters.
Pemain berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan koyak otot pada bahagian belakang dan memerlukan dia mendapatkan rehat selama dua hingga tiga minggu bagi memastikan dia cergas sepenuhnya.
Pakar Perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Jasmiza Khuzairi yang bertanggungjawab melakukan rawatan ke atas Tze Yong menasihatkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya tidak menghantar pemain itu ke Terbuka India dan Indonesia Masters.
“Selepas ujian ultrasound yang dilakukan, kita mendapati Tze Yong mengalami kecederaan pada otot tulang belakang, namun tahap kecederaannya boleh dikatakan minor (tidak serius).
“Sebagai langkah berjaga-jaga dan selepas berbincang dengan BAM, kita secara bersama setuju untuk Tze Yong tidak menyertai Terbuka India dan Indonesia Masters bagi membolehkan dia menjalani rawatan dan proses pemulihan.
“Kita jangka Tze Yong akan pulih sepenuhnya dan kembali menjalani latihan seperti biasa dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi,” katanya.
Terdahulu, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu mengalami kecederaan tersebut ketika berdepan pemain Jepun, Koki Watanabe di pusingan pertama Terbuka Malaysia Rabu lalu, sehingga memaksanya untuk menarik diri.
Dr. Jasmiza yang merupakan anggota pasukan perubatan program Road to Gold (RTG) ke Sukan Olimpik Paris, pihaknya akan membuat perancangan berhubung program pemulihan berdasarkan kesesuaian dan keadaan Tze Yong.
“Dalam tempoh dua hari ini memang Tze Yong berehat sepenuhnya dan hari ini kita tengok ada perkembangan positif dan tahap kesakitan yang dialami sudah berkurangan. Dua hingga tiga minggu akan datang ini kita akan fokus pada proses pemulihannya.
“Kita akan menyusun program pemulihan mengikut tahap kesakitan yang dialami Tze Yong bagi memastikan tahap kecergasannya tidak menurun,” ujar beliau.
Pada ketika ini, Tze Yong menghuni tangga ke-13 ranking kelayakan Olimpik, ketinggalan dua anak tangga di belakang perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia di kedudukan ke-11.
Untuk rekod, setiap negara boleh menghantar dua wakil dalam setiap acara perseorangan lelaki dan wanita ke Sukan Olimpik sekiranya menghuni kedudukan 16 terbaik ranking kelayakan. – Jurnal
Sumber: KOSMO