Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula 1 Oktober 2024, yang meliputi peraturan ketat mengenai pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, serta larangan merokok di tempat awam.
Akta ini juga turut merangkumi produk rokok elektronik atau vape.
Menurut kenyataan KKM di media sosial, peraturan baharu ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengekang peningkatan ketara penggunaan produk tembakau dan vape, terutamanya dalam kalangan orang dewasa berusia bawah 50 tahun, seperti yang dilaporkan dalam kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023.
Akta 852 yang diwartakan pada Februari lalu pada mulanya dijadualkan untuk dikuatkuasakan pada Jun sebelum ditangguhkan kepada Ogos, kini akan mula beroperasi pada 1 Oktober.
Langkah ini bertujuan memastikan penjualan vape kepada kanak-kanak dapat diharamkan dengan berkesan, setelah keputusan mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terhad di bawah Akta Racun.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan yang tegas diperlukan bagi mengurangkan kemudaratan akibat merokok serta penggunaan produk tembakau lain, termasuk vape, demi kesejahteraan rakyat. – JURNAL