Seorang akauntan berusia 55 tahun mengalami kerugian lebih RM5.04 juta selepas terperdaya dengan skim pelaburan ‘cryptocurrency’ pada Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu berurusan secara dalam talian dengan individu tertentu untuk melabur dalam skim pelaburan di Amerika Syarikat.
“Mangsa telah diyakinkan untuk menyertai pelaburan ‘cryptocurrency’. Bermula Ogos 2023 hingga Januari lalu, lelaki itu membuat pindahan sebanyak 143 kali ke dalam beberapa ‘wallet cryptocurrency’ dengan jumlah keseluruhan RM 5.04 juta.
“Mangsa berasa tertipu apabila tidak lagi dapat berhubung dengan individu yang menguruskan pelaburan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di ibu negara hari ini.
Ramli memberitahu, peningkatan nilai ‘cryptocurrency’ bagi tempoh enam bulan kebelakangan ini melebihi 70 peratus dipercayai akan mendorong ramai individu untuk melabur dalam ‘cryptocurrency’.
Justeru, orang ramai yang berminat diingatkan supaya membuat pelaburan ‘cryptocurrency’ melalui lima ‘exchanger’ yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Lima ‘exchanger’ tersebut ialah LUNO Malaysia Sdn. Bhd., MX Global Sdn. Bhd., SINEGY DAX Sdn. Bhd., Tokenize Technology (M) Sdn. Bhd. dan HATA Digital Sdn. Bhd.
“Mana-mana pelabur yang ingin menyertai skim pelaburan hendaklah membuat semakan terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau Unit Cryptocurrency Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di talian 03-26101139.
“Ia bertujuan bagi mendapatkan nasihat serta maklumat status sesebuah syarikat yang menawarkan pelaburan selain untuk mengesahkan kesahihan pelaburan yang ditawarkan,” tegasnya. – JURNAL
Sumber: KOSMO!