Ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace adalah bertentangan dengan syariat Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Mohd Na’im berkata, pihaknya akan memastikan semua kandungan di media sosial mengenai ajaran itu diturunkan seberapa segera bagi mengelakkan masyarakat daripada terpengaruh.
“Sebagai menteri agama, saya memandang serius terhadap ajaran ini. Saya arahkan semua agensi di bawah saya untuk memantau ajaran di media sosial.
“Sudah tentu pihak kami mahu kandungan seumpama ini diturunkan sebab tidak mahu generasi muda dan pengguna media sosial terpengaruh dengan ajaran ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keluarga Madani di sini hari ini.
Beliau berkata, langkah bagi menurunkan kandungan ajaran The Ahmadi di media sosial itu telah dibincangkan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kalau dibiarkan, ada yang cetek ilmu agama akan mudah kagum apabila individu yang bersiaran secara langsung di media sosial guna perkataan dalam bahasa Arab. Kita bimbang penonton menyanjung tinggi dan senang terpengaruh.
“Sebab ada dalam kalangan masyarakat kita apabila dengar ada yang guna istilah Bahasa Arab, mereka akan fikir ini ‘tok guru’. Ini yang kita tidak mahu tengok ia berlaku dalam masyarakat,” katanya.
Tular di media sosial mengenai akaun TikTok dipercayai milik bishop atau ketua ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace yang mempunyai lebih 30,000 pengikut dan mendapat sambutan apabila pemilik akaun itu menggunakan aplikasi TikTok live atau siaran langsung.
Ditanya keperluan menambah penempatan kader (pegawai hal ehwal agama Islam) di SKMM, Mohd Na’im berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk tujuan itu bagi memastikan matlamat utama iaitu membanteras penyebaran ajaran sesat melalui media sosial tercapai.
Mengakui terdapat keperluan untuk menambah jumlah penempatan kader di SKMM, beliau berkata, faktor perkembangan teknologi ketika ini menuntut semua pihak untuk bergerak pantas menangani atau menyelesaikan sebarang situasi termasuk menjaga kesucian agama Islam.
“Kalau dahulu ajaran seumpama ini disebarkan secara fizikal…mudah untuk pihak berkuasa jejak, tetapi sekarang melalui media sosial. Ini cabaran kita tetapi insya-Allah dengan kerjasama mantap dengan SKMM dan PDRM, saya yakin kita mampu untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang bahaya ajaran The Ahmadi ini,” katanya.
Pada 21 Julai lepas, Mohd Na’im dilaporkan berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menempatkan seorang kader di SKMM bagi membantu suruhanjaya itu memantau sebarang bentuk hantaran berkaitan ajaran sesat di media sosial. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN