Sebuah video yang dimuat naik di Facebook mendapat perhatian warganet dan dikecam hebat apabila memaparkan seorang wanita sedang memberi bayinya berusia 10 bulan menghisap vape.
Menerusi video tersebut, kedengaran wanita terbabit bertanyakan kepada bayi lelaki itu sama ada mahu mencuba hisap vape sebelum dia terus memasukkan rokok elektronik itu ke dalam mulut si anak.
Dalam pada itu, terdapat lagi sebuah video berkaitan memaparkan seorang rakan kepada wanita tersebut tertawa selepas bayi itu tersedak kerana tersedut asap vape.
Susulan kejadian yang berlaku di Australia itu, pihak polis New South Wales telah mengambil tindakan dengan memeriksa keadaan bayi berkenaan untuk mengetahui tahap kesihatannya.
Namun begitu, difahamkan sehingga sekarang tiada sebarang tangkapan dibuat.
Menjengah ke ruangan komen pula, ramai warganet mengecam tindakan wanita yang tidak bertanggungjawab itu.
“Bagaimana anda boleh meletakkan vape itu ke dalam mulut anak sendiri dan melihat dia menghisapnya serta ketawa setelah dia tersedak?
“Jadilah ibu yang lebih baik dan matang!” memetik cemuhan warganet.
Walau bagaimanapun, wanita berkenaan dilihat sangat ego dan mempertahankan dirinya dengan membalas balik komen mereka.
“Semua orang banyak bercakap tentang saya, lihatlah sendiri latar belakang kamu.
“Kamu juga tak sempurna, jadi teruskan mengkritik kerana kamu juga tidak berguna!” getusnya membidas pihak yang mencemuhnya. – JURNAL