AirAsia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar di China dengan memperkenalkan dua laluan baharu yang menarik pada separuh tahun kedua ini.
Laluan Pulau Pinang-Shenzhen dan Kota Kinabalu-Shantou akan menambah rangkaian AirAsia yang kini merangkumi 33 laluan ke dan dari China.
AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) akan memulakan operasi empat penerbangan mingguan dari Pulau Pinang ke Shenzhen mulai 28 Oktober 2024, diikuti tiga penerbangan mingguan dari Kota Kinabalu ke Shantou bermula 16 November 2024.
Kedua-dua laluan baharu ini bakal memberikan lebih banyak pilihan kepada pelancong untuk meneroka keindahan China.
Bagi meraikan pelancaran laluan-laluan ini, AirAsia menawarkan tambang promosi yang sangat berbaloi.
Penerbangan dari Pulau Pinang ke Shenzhen boleh didapati dengan harga bermula RM329 sehala termasuk semua, manakala penerbangan dari Kota Kinabalu ke Shantou bermula RM299 sehala termasuk semua.
Tempahan untuk tambang promosi ini boleh dilakukan melalui aplikasi AirAsia MOVE (dahulu dikenali sebagai airasia Superapp) dan di airasia.com mulai hari ini sehingga 8 September 2024.
Pelancong boleh merancang percutian mereka ke Shenzhen antara 28 Oktober 2024 hingga 29 Mac 2025, dan ke Shantou antara 16 November 2024 hingga 29 Mac 2025 dengan harga istimewa ini.
Menambah lagi keseronokan, rakyat Malaysia layak untuk memasuki China tanpa visa bagi tujuan pelancongan sehingga 15 hari sehingga akhir tahun 2025.
Shenzhen dan Shantou, yang terletak di wilayah Guangdong, terkenal dengan keunikan bandarannya yang moden dan landskap yang menakjubkan.
Pengunjung ke Shenzhen boleh menikmati pemandangan memukau dari dek pemerhatian Free Sky di tingkat 116 Pusat Kewangan Antarabangsa Ping An, yang menawarkan panorama indah bandar Shenzhen dan Hong Kong.
Di Shantou, pelancong boleh melawat Pulau Nan’ao untuk menikmati keindahan alam semula jadi yang menghijau. – JURNAL
Sumber: Berita Harian