Syarikat bersaiz sederhana di Malaysia dan Asia Pasifik semakin giat menerapkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi mereka, dengan potensi menjana pulangan sehingga empat kali ganda dalam tempoh setahun.
Menurut Avanade Trendlines: AI Value Report 2025, yang melibatkan 4,100 pembuat keputusan perniagaan dan IT global, 87% responden merancang untuk meningkatkan bajet projek AI generatif mereka hingga 50%.
“Tekanan persaingan mendorong tindakan segera, dengan 85% pemimpin bimbang kehilangan kelebihan daya saing tanpa penerapan AI yang pantas,” menurut kenyataan Avanade.
Walau bagaimanapun, hampir separuh organisasi masih berada di peringkat kajian kes atau bukti konsep, berdepan cabaran seperti keperluan memodenkan sistem legasi (95%) serta isu kualiti data dan tadbir urus (76%).
Selain itu, keselamatan menjadi keutamaan utama, dengan 94% pemimpin menumpukan usaha melindungi data sensitif.
Untuk membantu organisasi menangani cabaran ini, Avanade melancarkan tujuh perkhidmatan AI baharu, termasuk migrasi awan, pembangunan aplikasi AI, dan pemodenan ERP.
“Penawaran ini memanfaatkan teknologi AI Microsoft dan kepakaran Avanade untuk membuka peluang pertumbuhan baharu sambil mengatasi cabaran teknikal dan operasi,” kata Bhavya Kapoor, Presiden Avanade Asia Pasifik.
Syarikat kini memperuntukkan bajet ke arah platform data, automasi, dan keselamatan sebagai langkah memastikan keupayaan AI dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengukuhkan daya saing dalam ekonomi yang pantas berubah. – JURNAL
Sumber: Berita Harian