Lebih 13 tahun menjawat tugas sebagai Dato’ Perdana Dalam di Istana Besar Johor, malah menjadi rakan sejak bangku sekolah lagi, Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa memang antara individu yang paling layak untuk diajak berbicara mengenai Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Jika kebanyakan kita mengenali sosok diraja itu menerusi kaca televisyen, buku-buku atau program-program yang dicemar duli, namun menyingkap peribadi serta karakter Sultan Ibrahim dari kaca mata kawan sekolah dan kakitangan kanan istana itu memang sangat bermakna.
Apatah lagi, sultan dari selatan tanah air itu pada hari ini memotretkan satu lagi lembaran sejarah apabila meneruskan legasi pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia selaku Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Menyingkap perkenalan beliau dengan Seri Paduka Baginda, Mohamed Perang yang juga seorang kolonel bersara mengakui mula mengenali Sultan Ibrahim sejak tahun 1971 ketika sama-sama menyambung persekolahan di peringkat menengah di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.
“Kami sama-sama masuk Tingkatan Satu di Maktab Sultan Abu Bakar, cuma selepas Tingkatan Tiga, saya bertukar ke Politeknik Engku Omar di Ipoh, sementara Tuanku menghabiskan Tingkatan Lima di Maktab Sultan Abu Bakar.
“Jadi, ketika itu terputuslah sekejap hubungan dengan Tuanku sebagai kawan apatah lagi kemudian saya masuk tentera. Bila saya masuk tentera, lagi banyaklah saya pergi ke penugasan tempat lain maka tak berjumpa dengan Tuanku sehinggalah saya balik semula ke Johor.
“Ini kerana sekembali ke Johor, saya menjawat jawatan komandan di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram,” cerita Mohamed Perang memulakan bibit-bibit perkenalan beliau dengan Tuanku.
Katanya, ketika menjadi komandan di Pulada, hubungan beliau dengan Tuanku dan keluarga kembali rapat.
Imbau anak kelahiran Johor Bahru itu, Almarhum Sultan Iskandar ibni Sultan Ismail pada masa itu telah bertitah menghantar Tunku Ismail yang ketika itu sebagai Raja Muda untuk menjalani latihan tentera selama enam bulan di bawah penyeliaan beliau.
“Jadi, di situ saya mula rapat dan berhubung semula dengan Tuanku Sultan Ibrahim kerana dalam masa enam bulan itu saya sering ke istana untuk menghantar Raja Muda.
Pun begitu, tidak lama selepas itu saya ke luar negara selama lebih empat tahun untuk misi diplomatik negara, sebelum pulang dan bersara awal.
“Bila saya balik daripada bersara, mula-mula niat mahu kerja sendiri tetapi kemudian saya dapat tawaran Petronas untuk bertugas ke Dubai.
“Pada awal 2010 apabila Sultan Ibrahim naik takhta, baginda bertitah agar saya pulang ke Johor dan pada masa itulah saya dititahkan untuk bekerja di bawah baginda,” imbau Mohamed Perang.
Menurutnya, tugas sebagai Dato’ Perdana Dalam atau dalam bahasa Inggerisnya The Grand Chamberlain of the Royal Household itu lebih kepada penugasan berkenaan istiadat dan majlis rasmi yang melibatkan Tuanku serta kerabat.
Diajak berbicara mengenai keperibadian Tuanku dari kaca mata beliau, Mohamed Perang yang turut menyandang tugas sebagai Pengarah Muzium Diraja Abu Bakar dan Pengarah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor berkata, Tuanku seorang yang tegas serta teliti dari segi kerja.
“Selama 13 tahun bekerja di bawah Tuanku, baginda seorang yang tegas tetapi tidaklah garang.
Baginda tegas dan teliti terutamanya dengan pegawai kerajaan dari segi kerja.
“Tapi pada masa yang sama dalam ketegasan Tuanku, baginda seorang yang mendengar, bermakna kita boleh berbincang dengan Tuanku kalau ada apa-apa masalah berkaitan urusan urusan kerajaan.
“Selain itu, Tuanku seorang yang sangat prihatin terhadap kepentingan dan kebajikan rakyat.
Sebab itulah, Tuanku sangat teliti dalam urusan kerajaan sebab ia akan berkait dengan kebajikan rakyat,” kata Mohamed Perang.Tuanku suka melawak
Apatah lagi, sebagai seorang Raja yang sangat bijaksana, akui Mohamed Perang, Sultan Ibrahim sangat berpengetahuan dalam selok-belok pentadbiran, malah ilmu ketenteraan.
“Tuanku pun dilatih juga sebagai seorang tentera dulu, jadi baginda sangat bijak dalam ketenteraan dan teknologi.
Boleh dikatakan laut, udara dan darat semua baginda tahu dari segi peralatan-peralatan tentera itu,” jelas Mohamed Perang.
Tambah beliau, satu lagi sisi karakter Tuanku yang mungkin ramai tidak ketahui ialah baginda seorang yang kelakar.
Malah, akui Mohamed Perang, mengenali Sultan Ibrahim sebagai individu, Agong ke-17 itu juga seorang yang sangat empatik.
“Baginda punya sense of humor tinggi, baginda suka melawak. Kalau bersama kitalah, bersama tetamu pun baginda selalu melawak.
“Selain itu, Tuanku seorang yang empati, yang mana baginda cepat kasihan.
“Walaupun baginda marah seseorang itu tetapi baginda cepat akan reda dan cepat kasihan. Itu yang saya boleh katakan mengenai baginda sebagai seorang individu. Sebagai sultan, sudah tentulah baginda ada ketegasan,” ujar Mohamed Perang.
Ditanya mengenai momen manis bersama Sultan Ibrahim yang melekat dalam ingatannya, Mohamed Perang mengakui terlalu banyak kenangan yang membekas di hati beliau.
Namun, saat menerima hadiah seutas jam tangan sewaktu mula-mula bekerja dengan Tuanku menjadi memori paling memberi kesan sehingga hari ini.“Momen yang paling memberi kesan ialah ketika masa saya mula-mula masuk kerja dahulu.
Tuanku kurniakan saya seutas jam tangan.
“Tuanku kemudian bertitah ‘the watch is yours but the time is mine’ (jam ini menjadi milik awak tetapi masa itu milik saya).
“Sedar tak sedar saya sudah bekerja selama 13 tahun, berkhidmat untuk Tuanku dan dalam tempoh 13 tahun itu juga, saya hanya bercuti 10 hari,” kata Mohamed Perang yang masih bersemangat dan gagah meneruskan tugas mencabar beliau pada usia 65 tahun. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN