Nama Lionel Messi boleh dikatakan sangat menonjol untuk saingan Piala Dunia 2022 di Qatar sejak awal kejohanan berlangsung.
Apatah lagi bintang Argentina itu berjaya mengatasi rekod Gabriel Batistuta untuk muncul sebagai penjaring terbanyak Argentina sepanjang zaman untuk saingan Piala Dunia.
Perlawanan akhir menentang Perancis pada malam ini pastinya akan meninggalkan kenangan manis dan sudah tentu berbaloi buat Messi sekiranya negara Amerika Latin tersebut menjuarai edisi kali ini.
Tambahan pula Messi pernah menyatakan bahawa penganjuran kali ini adalah yang terakhir buatnya.
Namun adakah Perancis akan memberikan peluang kepada pemenang lima kali anugerah FIFA itu menjulang Piala Dunia 2022?
Sudah tentu pasukan Les Blues mahu mempertahankan trofi dimenangi mereka pada 2018!
Pemain sayap Perancis, Ousmane Dembele pula dengan tegas menyatakan bahawa Perancis tidak akan bersimpati kepada Messi walaupun gelanggang final pada malam ini merupakan peluang terakhir buat bekas rakan sepasukannya di Barcelona itu mendakap Piala Dunia.
Dalam pada itu, Dembele juga mengakui skuad Perancis memiliki pengalaman lebih baik berbanding Argentina terutama dalam perlawanan akhir.
Justeru, pasukan manakah menjadi pilihan anda untuk membawa pulang piala paling berprestij di dunia, Argentina atau Perancis? – JURNAL