Kemunculan Abang Viva di Besut, Terengganu hari ini (Isnin) sekali gus menutup cakap-cakap orang mengenai lelaki yang digelar ‘wira banjir’ itu kononnya sudah semakin jarang kelihatan di lokasi banjir selepas dikenali ramai.
Menerusi siaran langsung di TikTok, Abang Viva atau Azwan Omar memberitahu, dia ke Besut kerana bilangan sukarelawan di lokasi tersebut untuk menghulurkan bantuan tidak ramai.
Azwan menambah, keadaan di kawasan terbabit semakin kritikal setelah paras air naik agak tinggi dan makin deras, sekali gus menyukarkan operasi bantuan.
“Air agak tinggi dan arusnya deras, jadi bot pun tak boleh nak masuk hantar bantuan. Kalau ikut hati kering saya, nak terjah saja masuk tongkah arus guna tali. Tetapi akur dengan nasihat pihak berkuasa.
“Masih berisiko tinggi keadaan di sini. Saya harap dibenarkan masuk dengan segera. Saya terkilan dan sedih sebab masa mula-mula sampai, ternampak seorang makcik smengibarkan bendera putih mohon dibantu,” katanya.
Beberapa hari lalu nama Abang Viva kembali menjadi sebutan apabila ada warganet tersalah anggap selepas mendengar gosip mendakwa dia jarang turun ke lokasi banjir sebaik berkahwin.
Dalam pada itu, setakat jam 5 petang tadi, situasi banjir di Terengganu semakin buruk dengan kesemua lapan daerah di negeri tersebut telah dinaiki air hari ini.
Memetik laporan Awani, bencana yang melanda itu sekali gus menyaksikan jumlah mangsa yang dipindahkan mencecah hampir 20,000 mangsa.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Daerah Hulu Terengganu terus merekodkan jumlah mangsa tertinggi seramai 5,726 yang dipindahkan.
Daripada jumlah itu, 1,799 mangsa telah dipindahkan ke 50 pusat pemindahan sementara (PPS).
Diikuti daerah Besut dengan 5,067 mangsa yang ditempatkan di 80 PPS bagi menempatkan 80 buah keluarga.
Manakala di Kemaman dan Setiu, lebih 3,000 mangsa telah dipindahkan, disusuli daerah Dungun dengan 1,083 mangsa yang terkesan dengan banjir kali ini.
Sementara itu jumlah mangsa banjir di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang turut merekodkan peningkatan kepada lebih 300 mangsa yang dipindahkan.
Setakat ini juga sebanyak 243 PPS masih diaktifkan bagi menempatkan 5,699 keluarga di seluruh negeri Terengganu.
Sehingga petang tadi hujan lebat masih melanda di kebanyakan kawasan di negeri itu. – JURNAL