Seorang pemandu bas berusia 24 tahun ditahan di Simpang Renggam awal pagi tadi selepas memuat naik video penumpang yang dipercayai pelajar sekolah rendah, sambil merujuk mereka sebagai ‘crush’ dan ‘kesayangan’.
Penahanan dibuat oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang sekitar jam 2.57 pagi, menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.
Polis turut merampas telefon bimbit yang digunakan suspek untuk memuat naik video tersebut di akaun TikTok miliknya, ‘Abang Bas’.
“Polis kontinjen Johor mengesahkan menerima laporan semalam dan telah memulakan siasatan berhubung video tular yang memaparkan kanak-kanak dalam bas yang dipandu seorang lelaki. Hantaran tersebut masih boleh diakses di akaun media sosial suspek,” kata Kumar dalam kenyataannya hari ini.
Beliau turut menggesa ibu bapa kanak-kanak yang terlibat dalam rakaman tersebut untuk tampil memberi kerjasama bagi membantu siasatan.
Video berkenaan mendapat kecaman hebat daripada orang ramai yang menyifatkannya sebagai tidak sesuai dan berpotensi dikategorikan sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Tindakan merakam dan memuat naik video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa jelas melanggar Akta Kanak-Kanak 2001, yang melindungi hak serta privasi kanak-kanak.
Akaun TikTok ‘Abang Bas’, yang mempunyai lebih 600,000 pengikut, sering memuat naik video ketika suspek sedang memandu bas sekolah, dengan wajah pelajar-pelajar jelas kelihatan.
Susulan penularan video tersebut, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, telah mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya.
Kumar turut mengesahkan bahawa suspek disiasat di bawah Seksyen 15(a)(III) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan tindakan yang membawa maksud seksual dengan menghubungi atau memerhati kanak-kanak secara berulang.
Selain itu, dia juga disiasat di bawah Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyebarkan gambar kanak-kanak melalui media elektronik.
Jika didapati bersalah, suspek boleh berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda hingga RM20,000, atau kedua-duanya sekali, selain hukuman tambahan bagi kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak.
Kumar turut menasihatkan ibu bapa untuk sentiasa memantau aktiviti serta emosi anak-anak mereka agar sebarang bentuk jenayah seksual dapat dikesan lebih awal.
“Orang ramai juga diingatkan agar bijak menggunakan media sosial dan tidak menyalahgunakannya,” tambahnya. – JURNAL
Sumber: Berita Harian