Pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, membuktikan mereka masih dalam prestasi terbaik apabila berjaya melepasi pusingan pertama Terbuka Artik di Vantaa, Finland, meskipun baru kembali daripada rehat panjang.
Beregu lelaki utama negara itu sebelum ini terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan utama, termasuk Terbuka China, berikutan kecederaan retak tulang jari kaki kanan yang dialami oleh Wooi Yik.
Dalam aksi Terbuka Artik yang berstatus Super 500 BWF, Aaron-Wooi Yik, pilihan ketiga kejohanan dan kini menduduki ranking keempat dunia, hanya memerlukan straight set untuk menundukkan pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi yang berada di ranking 21 dunia.
Walaupun sedikit bergelut pada set pertama, Aaron-Wooi Yik tetap berjaya mengungguli perlawanan dengan kemenangan 21-18, sebelum mengulangi keputusan sama di set kedua.
Perlawanan yang berlangsung selama 45 minit di Vantaan Energia Areena itu merupakan penampilan pertama mereka sejak Olimpik Paris.
Meskipun berada di ranking keempat dunia, pasangan ini perlu bekerja lebih keras untuk memastikan kelayakan ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China.
Selepas terlepas beberapa kejohanan penting, mereka kini berada di ranking ke-16 dalam perebutan tempat ke kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$2.5 juta (RM10.7 juta). – JURNAL
Sumber: Berita Harian