Menjadikan legenda badminton Indonesia, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan, sebagai idola, beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, bertekad untuk mengikut jejak langkah juara dunia tiga kali itu.
Beregu No. 3 dunia ini memasang impian untuk beraksi dalam tempoh yang lama dan meraih pelbagai kejuaraan utama, seiring dengan kejayaan gandingan terkenal yang digelar ‘The Daddies’.
Namun, Wooi Yik mengakui bahawa untuk menyaingi pencapaian Hendra-Ahsan bukanlah sesuatu yang mudah.
Mereka perlu sentiasa berada dalam kondisi terbaik, lebih-lebih lagi dengan peningkatan usia.
“Kami memang pernah berbincang mengenai perkara ini. Kami mahu kekal sebagai gandingan yang lama dan terus maju ke hadapan. Kami sedar potensi yang kami miliki, namun masih belum mencapai puncak.
Kami bercita-cita untuk memenangi kejohanan besar seperti Hendra-Ahsan. Meskipun kami telah mengumpul pingat di pelbagai kejohanan, namun belum semuanya berwarna emas,” kata Wooi Yik ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang berakhir Isnin lalu, Aaron-Wooi Yik menyumbang satu pingat gangsa buat negara selepas menewaskan beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dengan keputusan 16-21, 22-20, 21-19 dalam aksi penentuan pingat gangsa.
Ini merupakan kali kedua mereka meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik, selepas penampilan pertama di Tokyo, Jepun tiga tahun lalu.
Aaron turut menjelaskan bahawa mereka perlu memperbaiki komunikasi sesama sendiri untuk merealisasikan impian meraih pingat emas pada Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).
“Kami perlu memastikan komunikasi antara kami lebih baik bagi mengelakkan salah faham. Kami pernah berdepan situasi itu dua tahun lalu, namun kini ia semakin baik,” ujar Aaron, sambil menegaskan pentingnya aspek tersebut dalam mencapai kejayaan di masa hadapan. – JURNAL
Sumber: Kosmo! Online