Penderitaan adik Muhammad Hafizuddin atau Hafiz dari Terengganu yang diuji penderitaan penyakit saraf sejak lima tahun lalu mendapat perhatian Yayasan Ikhlas (YI).
Badan bukan berasaskan keuntungan itu dalam kenyataan medianya berkata, kempen murni dipanggil Kempen Bantu Pesakit Sihat (BPS) adalah kempen yang sedang diusahakan saat ini.
Dana yang bakal dikumpul termasuklah pembiayaan adik Hafiz selain disalurkan bantuan dan keperluan kepada beberapa pesakit lain.
Hal itu disahkan oleh Pengerusi YI, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin menerusi kenyataan media disampaikan baru-baru ini.
“Kempen Bantu Pesakit Sihat ini sudah berjalan selama dua tahun lalu, di mana pihak kami (Yayasan Ikhlas) dalam usaha membantu golongan yang tidak berkemampuan ini yang tersisih daripada segi pembiayaan bantuan kewangan dan perubatan.
“Ikutkan sudah ramai pesakit yang pihak kami berjaya bantu sejak kempen ini berjalan. Kes adik Hafiz antara yang terpencil kami usahakan baru-baru ini.
“Kami berusaha mahu membantu dan mengurangkan beban keluarganya. Kami menyeru orang ramai turut sama-sama ambil tanggungjawab bantu menderma, dan boleh layari https://bantupesakitsihat.com/bantu-hafiz/,” kata Prof Dr Zainur Rashid.
Sementara itu, kesihatan adik Hafiz, 21, dari Kampung Lorong Haji Da, Batu Buruk dilaporkan merosot sejak terjatuh tangga di sekolahnya ketika berusia 16 tahun.
Berusia seperti remaja, namun hakikatnya adik Hafiz berbadan kecil dan kurus kering kerana beratnya hanya sekitar 10 kilogram.
Menerusi kenyataan YI lagi, lima bulan selepas kejadian terjatuh tangga itu, anak bongsu dari lima beradik itu mengalami demam panas sehingga pergerakannya terbatas dan tidak lagi seimbang.
“Musibah yang menimpa ini menyebabkan dia tidak dapat mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Lebih menyayat hati, ibunya, Khatijah Muhammad sudah kembali ke rahmatullah
empat tahun lalu akibat penyakit kanser payu udara. Jiwanya semakin runtun apabila ibunya tiada di sisi dan keadaan kesihatannya semakin merosot sehingga tulangnya menjadi rapuh dan kakinya patah tiga,” kata wakil YI.
Tambah kenyataan YI lagi, kini, bapa adik Hafiz, Ismail Wahab seorang pesara berusia 63 tahun mengambil tanggungjawab sepenuhnya menjaga dan menguruskan keadaan anaknya itu.
“Mereka tinggal di sebuah rumah yang sangat daif, terletak di Kampung Lorong haji Da, Batu Burok Kuala Terengganu. Dinding rumah berlubang dan bekalan elektrik telah di potong selama setahun.
“Ismail menyara hidup, dengan bergantung sepenuhnya dari wang pencen yang berbaki RM800 sebulan serta bantuan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ismail memaklumkan, sebahagian besar wang pencennya di gunakan untuk melunaskan hutang pinjaman bank yang di buatnya untuk membuka kedai makan sejurus bersara empat tahun lalu.
“Namun, kedai makan tersebut terpaksa ditutup ekoran kerugian akibat pandemik COVID 19, sekaligus menyebabkannya hilang punca pendapatan Ini antara 1001 kisah manusia yang di uji sakit, daif dan miskin.
Atas rasa peduli dan prihatin, YI hadir mendengar keluh kesah, lalu tanpa berlengah menghulurkan bantuan yang di perlukan adik Hafiz,” kata wakil YI.
Untuk rekod, YI hadir memberikan bantuan berkala selama setahun seperti bantuan susu, lampin pakai buang, bantal dan tilam.
Bantuan berkala ini juga akan terus menerus bersama adik Hafiz dan akan mengikuti perkembangan kesihatannya sehingga mendapat berat badan yang lebih baik.
Anggaran kos yang perlu di tanggung bapanya juga adalah sebanyak RM2,000 sebulan. – JURNAL