Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) festival beli-belah Hooray X Fest Raya, Muhammad Alif Hakim Jamal hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menipu salah seorang peniaga, April lalu.
Muhammad Alif Hakim membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marisqa Khalizan setelah pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Siti Wardina Basir dalam urusan penyewaan tapak Hooray X Fest di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM1,500.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di WTC pada pukul 2.34 pagi, 19 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Muhammad Alif Hakim yang memakai baju kemeja berwarna putih bercorak daun tiba di Mahkamah Majistret kira-kira pukul 9.25 pagi bersama peguam Zamri Idrus yang mewakili tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Zamri memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya menghadapi penyakit buah pinggang dan perlu melakukan dialisis tiga kali seminggu dengan kos mencecah RM1,050.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Marisqa kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Beliau menetapkan sebutan kes pada 27 Julai ini bagi serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan, karnival jualan sempena Aidilfitri itu yang sepatutnya bermula 18 April lalu di WTC dibatalkan di saat-at akhir akibat penaja utama menarik diri. – JURNAL
Sumber: UTUSAN