Seorang anggota polis wanita yang videonya tular baru-baru ini kerana mengeluarkan kata-kata kurang sopan serta menghina anggota bawahan pasukan itu telah digantung tugas sejak minggu lepas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua kertas siasatan juga sudah dibuka di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, kertas siasatan tersebut telah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas pada 19 Jun lepas.
Tambah beliau, Jabatan Integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah membuka enam siasatan tatatertib kepada individu tersebut.
“Dengan kenyataan ini, masyarakat khasnya akan mendapat tahu bahawa pihak polis mempunyai kaedah dan mekanisme jelas untuk menghadapi perilaku yang sebegini.
“Perilaku sebegini boleh menyebabkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat, boleh juga beri sedikit sebanyak persepsi terhadap pasukan polis.
“Kita biarkan pasukan polis guna pakai undang-undang berkaitan dan gunakan saluran dalaman seperti Jabatan Integriti untuk menguruskan,” katanya.
Ketika ditanya tempoh penggantungan tugas untuk anggota itu, beliau menyatakan ia bergantung kepada hasil siasatan dan jika dituduh di mahkamah, anggota itu akan terus digantung kerja sehingga disabitkan kesalahan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara Dan Timbalan Ketua Polis Negara di Kuala Lumpur pada Rabu. – JURNAL
Sumber: ASTRO AWANI