Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan MN Selangor, Datuk Seri Eizlan Yusof menyerahkan kepada Pas untuk membuat keputusan sama ada mereka berdua diberi kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Saya berserah kepada parti. Bertanding tak apa, tak bertanding pun tak apa,” kata Annuar ringkas.
Menurutnya, penyertaan ke dalam Pas pada minggu lalu bukan kerana mahu menjadi calon sebaliknya kerana dasar yang diperjuangkan.
“Semangat saya semakin membara atas asas dan prinsip kebenaran.
“Selagi hayat dikandung badan, saya tetap berjuang walaupun hanya ahli biasa dan bukan calon bertanding,” katanya lagi.
Bekas Setiausaha Agong UMNO itu menegaskan beliau tidak akan tumbang disebabkan fitnah kerana difitnahlah beliau meneruskan perjuangan.
Dalam pada itu, media melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka adakan PRN serentak selepas hampir semua enam negeri mengumumkan tarikh cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Setakat ini, Kelantan mengumumkan pembubaran DUN pada hari ini, 22 Jun, manakala Selangor pada 23 Jun.
Hanya Terengganu yang belum mengumumkan tarikh pembubaran DUN. Bagaimanapun, akan terbubar dengan sendirinya pada 30 Jun ini.
PRN kali ini membabitkan seramai 9,781,416 pemilih bagi enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Terengganu dan Negeri Sembilan. – JURNAL