Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya syarikat-syarikat tempatan di negara ini memberi kadar elaun munasabah kepada penuntut universiti yang menjalani latihan industri.
Beliau berkata, hal itu bertujuan supaya pelatih industri dapat menampung perbelanjaan asas mereka seperti kos perjalanan serta makan dan minum sepanjang menjalani program latihan berkenaan.
Katanya, kerajaan ketika ini tidak menetapkan kadar elaun tetap bagi latihan industri, namun ia wajar dipertimbang syarikat yang mengambil pelatih bagi membantu mereka dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat.
“Kerajaan menggalakkan latihan industri kerana pendedahan latihan ini penting, tetapi, kerajaan faham ini (latihan industri) bukan pekerjaan biasa. Ia hanyalah peluang dan pengalaman, tetapi syarikat-syarikat berilah sedikit elaun untuk mereka.
“Elaun ini bertujuan untuk menampung kos perjalanan, tambang dan makan pelatih. Tetapi dia faham elaun ini bukan sebagai upah, bukan juga gaji, jadi kerajaan tidak akan menetapkan satu kaedah yang jelas (mengenai pembayaran elaun).
“Program ini tidak boleh dipaksa, namun, lebih banyak syarikat mengambil pelatih industri, lebih baik untuk pelatih industri pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Program Graduan Pasaran Modal (CMGP), di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini hari ini.
Anwar berkata, ketika beliau menjadi ketua pembangkang semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, beliau sendiri mengambil inisiatif dengan memberi dana tambahan sejumlah RM1,000 untuk membayar elaun kepada pelatih di pejabatnya.
Katanya, elaun diberi kerajaan untuk pembangkang ketika itu hanya berjumlah RM1,800 yang disifatkan tidak cukup untuk membayar pelatihnya.
“Saya terpaksa mencari dana untuk membayar sekurang-kurangnya RM1,000 pada masa itu untuk pelatih bagi tambang dan makan mereka.
“Ini juga selain memberi pendedahan untuk menghubungi wakil-wakil rakyat, menteri dan kementerian, persidangan Parlimen dan memahami selok-belok Perlembagaan Persekutuan dan perundangan negara serta taklimat kementerian.
“Jadi, saya berharap ada sambutan baik untuk beri sedikit elaun untuk mereka,” katanya. – JURNAL
Sumber: UTUSAN