Masa depan politik Khairy Jamaluddin kembali diperkatakan selepas bekas Menteri Kesihatan itu hadir dalam perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.
Kehadiran Khairy dalam perbincangan bersama beberapa tokoh perniagaan dan pakar ekonomi, termasuk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menimbulkan persoalan sama ada beliau memilih untuk bersama Kerajaan Perpaduan, selepas dipecat daripada UMNO pada 27 Januari lalu.
Tanda tanya itu juga timbul berikutan tiada perkhabaran terkini mengenai tawaran daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Khairy menyertai parti serpihan UMNO itu dan menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU sejak lima bulan lalu.
Difahamkan, kehadiran Khairy dalam pertemuan dengan Perdana Menteri itu adalah atas jemputan Anwar yang menunjukkan keterbukaan beliau untuk mendengar pandangan daripada pelbagai pihak dalam menentukan hala tuju ekonomi negara, termasuk daripada pengkritiknya.
Sementara itu Perdana Menteri turut berkongsi mengenai pertemuan tersebut di laman sosial Instagram beliau.
Menurut sumber BERSATU, Khairy sedang mempertimbangkan dua pilihan, iaitu sama ada menyertai BERSATU atau menubuhkan parti baharu.
“Khairy hanya sedia menyertai BERSATU sekiranya diberikan jawatan tinggi dalam parti itu, selain belum pasti sama ada mampu menubuhkan parti baharu yang kuat,” katanya.
Bagaimanapun, ada pandangan bekas Menteri Belia dan Sukan itu mempunyai lebih berpeluang untuk memimpin Malaysia mengikut corak pemikirannya yang progresif jika bersama PKR atau kembali bersama UMNO yang memiliki ideologi lebih sederhana dan terbuka berbanding BERSATU/PN. – JURNAL