Pendakwah bebas, Firdaus Wong memberitahu mahkamah bahawa dia tertekan dan sukar tidur malam sejak menerima aduan mengenai kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew.
Firdaus atau nama sebenarnya Firdaus Wong Hai Hung, 39, berkata demikian ketika menjelaskan kesalahan ejaan ‘keburungan’ yang ditulisnya dalam sebuah kumpulan WhatsApp NOBODY disertainya.
“Keburungan adalah kesalahan ejaan (typo) daripada saya disebabkan melihat begitu banyak mesej dan gambar kemaluan lelaki.
“Saya sendiri sebagai lelaki tertekan dan sukar untuk tidur malam kerana imej-imej itu sering berlegar,” katanya.
Dia menjelaskan hal itu ketika menjawab soalan pemeriksaan balas daripada peguam, Ram Singh dalam sesi perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom pada Selasa minggu lalu.
Pada masa sama, Firdaus turut memaklumkan bahawa kesalahan ejaan itu telah dimaklumkan kepada kumpulan WhatsApp ‘NOBODY’ berkenaan.
Terdahulu, pada perbicaraan sesi pagi, Firdaus memberitahu mahkamah bahawa kumpulan WhatsApp ‘NOBODY’ merupakan kumpulan yang ditubuhkannya sendiri pada Julai 2021.
Kumpulan WhatsApp itu disertai olehnya sendiri dan tiga lagi ahli termasuk saksi pertama, pakar motivasi, Mohd Fairuz Abu, Doktor Rozaimy Ramly dan Doktor Yusuf.
Dalam pemeriksaan balas seterusnya, Firdaus tidak bersetuju dengan andaian Ram bahawa testimoni terhadap Ebit bersandarkan gambar dan mesej adalah tidak benar dalam mahkamah. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian