Pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia, menyifatkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa Interpol bagi mengesannya hanya akan mempopularkan beliau.
Dia kini menjadi cemuhan pelbagai pihak selepas lawak kontroversinya berhubung kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia, MH370, disifatkan tidak sensitif kepada keluarga mangsa.
Jocelyn juga berkata tindakan pihak berkuasa Malaysia sengaja memperbesar-besarkan isu itu dan ‘mahu melihat reaksi’ pegawai Interpol yang menerima permintaan itu.
“Sejujurnya, jika Interpol melakukan sesuatu mengenai permintaan ini dan perkara itu menjadi besar, bolehkah anda bayangkan betapa ia menjadikan saya lebih terkenal?” katanya kepada BBC.
Pelawak terbabit memperlekehkan Malaysia dalam satu persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini, mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk Malaysia dan Singapura.
Menerusi klip video yang dimuat naik di akaun TikTok, Jocelyn turut secara sengaja menghina seorang penonton persembahannya yang mengaku sebagai rakyat Malaysia dengan perkataan kesat.
BACA: [V] Pelawak Singapura Perlekeh Dan Hina Malaysia, Undang Kemarahan Netizen
Susulan itu, TikTok sudah mengeluarkan video tular berkenaan yang turut mengandungi kenyataan menghina Malaysia dan tragedi MH370, kerana mengandungi ucapan berunsur kebencian.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata permohonan akan difailkan dengan Interpol untuk mendapatkan butiran identiti Jocelyn dan lokasi terkininya.
BACA: Siasat Jocelyn Chia, PDRM Mohon Bantuan INTERPOL Kesan Lokasi Terkini
Jocelyn, bekas warga Singapura, berkata klip persembahan komedi meninggalkan konteks yang diperlukan dan dia melakukan jenaka sama ‘lebih daripada seratus kali’ tanpa sebarang masalah sebelum ini. – JURNAL
Sumber: AGENSI