“Saya faham, apa jua alasan yang saya berikan ia sudah tentu tidak boleh membetulkan keadaan ketiadaan saya di sisi rakyat pada waktu sebegini,” demikian kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri.
Beliau berkata demikian ketika membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat Terengganu khususnya mangsa banjir kerana tiada di negeri itu ketika bencana alam itu melanda pada 18 hingga 21 Disember lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu menyatakan permohonan maaf secara terbuka menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook rasminya pada Jumaat.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri menegaskan, beliau sentiasa meneliti perkembangan semasa banjir sepanjang tempoh ketiadaannya di Terengganu ketika itu.
“Saya sentiasa berkomunikasi dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan setiap keputusan yang memerlukan kelulusan saya sebagai Menteri Besar dapat diteruskan setelah perbincangan dibuat dengan jawatankuasa tersebut.
“Kerajaan negeri telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi banjir kali ini, malangnya cuaca yang terlalu ekstrem dengan hujan terlalu lebat telah menyebabkan berlakunya bencana banjir luar biasa,” katanya.
Dalam pengumuman sama, beliau memberitahu setiap mangsa banjir berdaftar di Terengganu akan mendapat bantuan tunai RM1,000 manakala keluarga mangsa korban banjir pula menerima RM10,000.
Kata beliau, bantuan lain akan turut diteliti oleh kerajaan negeri bagi membantu meringankan bebanan mangsa banjir yang terkesan. – JURNAL