Lelaki yang mengamuk selepas pekerja sebuah restoran di Putra Heights di sini, dikatakan enggan memanggilnya ‘abang’ atau ‘baby’ ditahan polis di Batu Caves, awal pagi tadi.
Suspek berusia 50 tahun itu ditahan di sebuah pusat dobi layan diri pada jam 1 pagi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata siasatan mendapati suspek tidak bekerja.
“Pemeriksaan mendapati dia mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan kes tipu, menghalang penjawat awam dan membuat ugutan.
“Suspek direman empat hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 352 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sebelum ini, klip video memaparkan suspek mengamuk secara tiba-tiba sehingga mencederakan seorang kanak-kanak tular di media sosial.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi pada 6 Jun lalu, suspek lelaki tempatan itu dikatakan meminta mangsa memanggilnya dengan gelaran ‘abang’ atau ‘baby’.
Tindakan mangsa yang juga lelaki tempatan memanggilnya ‘pakcik’ membuatkan suspek berang lalu mengamuk sebelum membaling makanan serta minuman panas sehingga terkena seorang kanak-kanak berusia empat tahun.
Suspek terus dilihat agresif dengan memaki hamun dan mengugut akan merosakkan harta benda. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE