Kebelakangan ini di media sosial netizen mula membincangkan tentang bau wangi yang tiba-tiba muncul.
Menerusi perbincangan dan perkongsian di media sosial, Jurnal Malaysia mendapati dakwaan fenomena bau wangi ini bukanlah berlaku di satu dua tempat tetapi seluruh negara.
Menurut netizen, bau wangi yang kuat di beberapa kawasan kebelakangan ini berlaku pada waktu malam.
“Kenapa ada bau wangi? Siapa yang alami benda sama?”
“Dekat Ampang ni, hari Sabtu lepas…Masa nak turunkan anak-anak depan rumah, masa tu malam dalam pukul 7 lebih, buka je pintu kereta terus menusuk bau wangi. Bau bunga lembut aje, sedap bau dia…”
“Wangi betul sepanjang jalan dari Jalan Dewan Bahasa di Kuala Lumpur sampai jambatan di Petaling Jaya. Bau bunga kemboja kuat.”
“Saya duduk kat Terengganu ini pun ada terbau wangi sangat. Tak dapat nak cakap kat orang wanginya itu tapi bau dia sekejap saja.”
Antara yang kongsi para pengguna media sosial. Malah ada yang turut menjadikan ia topik perbualan di kumpulan Whatsapp kejiranan masing-masing.
Bagaimanapun, menurut perkongsian seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Fify berkata, bau wangi tersebut bukanlah satu kejadian mistik, tetapi merupakan fenomena biasa yang berlaku ketika ini iaitu bulan penuh.
“Waktu begini, banyak bunga yang sedang berada dalam fasa ‘peak blooming’. Terutama sekali pada waktu malam.
“Waktu beginilah bunga-bunga ini akan keluarkan haruman yang sangat kuat sampaikan sesetengah kita cakap ada roh balik rumah dan sebagainya.
“Ketika fenomena ini, bunga-bunga akan kembang sekembang-kembangnya untuk sebarkan debunga sejauh-jauhnya,” katanya.
Tetapi sehingga kini belum ada kesahihan daripada mana-mana pakar mengenai perkara tersebut. – JURNAL