Seorang wanita hamil yang tular baru-baru ini ketika cubaan menyamun sebuah kedai emas di Melaka telah ditahan di kediamannya di Kampung Kuala Linggi, Masjid Tanah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, polis menahan suspek berusia 35 tahun itu kira-kira jam 5 petang semalam atas maklumat orang ramai.
“Siasatan awal mendapati, wanita itu sedang hamil dan mempunyai suami serta tiga anak selain bekerja sebagai eksekutif sumber manusia di sebuah syarikat swasta.
“Dipercayai motif suspek melakukan perkara itu kerana inginkan pengalaman ekstrem,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular satu klip video berkaitan kejadian terbabit di laman sosial memaparkan gelagat wanita berjubah dan berlitup muka cuba menyamun menggunakan sebilah pisau di sebuah pasar raya di Ayer Keroh.
Christopher berkata, dalam kejadian pada 20 Dis lepas kira-kira 4.45 petang itu, suspek berpura-pura ingin membeli emas, namun secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukannya kepada pekerja kedai yang sedang melayaninya.
Menurut beliau, wanita itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan selanjutnya.
“Suspek telah direman selama empat hari sehingga 27 Dis dan siasatan lanjut diteruskan. Kes disiasat di bawah Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan kerana cuba merompak menggunakan senjata,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERNAMA