Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa parti itu akan ‘bungkus’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.
Perkara itu dilontarkan Khairy Jamaluddin menerusi ruangan komen di Instagram milik bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.
“PRN UMNO bungkus,” ujarnya.
Komen tersebut ternyata dibalas semula oleh Hishammuddin.
“Its their loss bro, we move on (Ini kekalahan mereka bro, kita teruskan),” balasnya.
Dalam pada itu, Hishammuddin pada awalnya menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Instagramnya membidas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang seakan ‘menyindir’ dengan mempelawa bekas ahlinya untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.
Hishammuddin menyifatkan pelawaan yang dibuat secara menyindir itu menggambarkan mentaliti dan pemikiran kepimpinan UMNO sekarang.
Katanya, tindakan tersebut langsung tidak memberi apa-apa sumbangan dalam membantu memulihkan kedudukan parti itu dalam memenangi hati ahli-ahli di akar umbi selain memperolehi kejayaan dalam PRN akan datang.
“Tidak perlu pelawa ahli yang dibuang ke Perhimpunan Agung UMNO secara menyindir dan sengaja berseloroh. Ini hanya menggambarkan mentaliti dan pemikiran semasa kepimpinan UMNO.
“Saya pasti orang ramai lebih rindu kepada UMNO yang asal,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, UMNO mengalu-alukan bekas ahli untuk hadir ke PAU 2023 sebagai pemerhati dan untuk mengubat kerinduan mereka terhadap perhimpunan tersebut. – JURNAL