Seorang menteri dari Oman menawarkan RM4.42 juta untuk jubah dipakai Lionel Messi ketika pemain itu meraikan kejayaan Argentina di Piala Dunia 2022.
Jubah tradisional Arab tersebut dipakaikan kepada Messi oleh Emir Qatar selepas pasukannya berjaya Perancis di perlawanan final.
Difahamkan, pakaian berkenaan selalunya digayakan ketika menghadiri majlis istimewa seperti perkahwinan dan acara keagamaan.
Walaupun penganjur teruk dikritik kerana menyarungkan jubah itu kepada Messi, namun tidak bagi Menteri Undang-undang Oman iaitu Ahmed Al Barwani yang berminat membelinya.
Menerusi ciapan Twitter miliknya, Ahmed Al Barwani turut mengucapkan tahniah kepada skuad Argentina.
“Daripada Kesultanan Oman, saya mengucapkan tahniah kepada anda kerana memenangi Piala Dunia 2022 di Qatar.
“Jubah Arab, simbol kesatria dan kebijaksanaan. Saya tawarkan anda AS$1 juta bagi jubah itu,” katanya meluahkan hasrat.
Dalam pada itu Ahmed Al Barwani juga memaklumkan, tawarannya itu menyamai gaji Messi selama seminggu dan terbuka untuk perbincangan jika penyerang kacak Latin itu mahu menaikkan harga.
“Saya berada di stadium menyaksikan saat itu secara langsung apabila Emir Qatar memberikan Messi jubah berkenaan. Saat itu ia memberitahu dunia bahawa kami ada di sini dan inilah budaya kami.
“Jika saya mendapatkan jubah itu, ia akan ‘dipamerkan untuk memperingati saat menerima penghormatan dan membantu kami menghidupkannya,” katanya berbangga. – JURNAL