Sebuah hotel di Dubai yang bernilai lebih AS$544 juta (kira-kira RM2.4 bilion) bakal menjadi hotel tertinggi di dunia.
Pembinaan Ciel Dubai Marina yang berketinggian 365 meter (m) terletak di Dubai Marina itu dijangka siap awal 2024 dan akan memulakan operasi sebelum penghujung tahun sama.
The National yang mengikuti siri lawatan ke projek hartanah itu, baru-baru ini, yakin orang ramai pasti teruja dengan pembinaan bangunan 82 tingkat dan dilengkapi 1,000 bilik itu.
Ketua Eksekutif The First Group, Rob Burns berkata, bangunan itu mempunyai reka bentuk ikonik yang akan menjadi karya seni baharu sebaik siap kelak.
Pemaju hotel itu berkata, pembinaan bangunan berkenaan kini sudah mencapai 70 peratus dan yakin ia akan siap sepenuhnya menjelang separuh pertama 2024.
Apabila siap, Ciel Dubai Marina akan mengambil gelaran hotel tertinggi di dunia.
Dubai tidak asing dengan rekod itu. Setakat ini, ia memiliki tiga hotel tertinggi di dunia.
Pemegang rekod semasa untuk hotel tertinggi adalah Hotel Gevora di Jalan Sheikh Zayed di sini, yang berketinggian 356m. Ia diikuti JW Marquis (355m) dan Rayhaan by Rotana (333m) masing-masing juga di Dubai.
Untuk rekod, komponen hotel pada bangunan tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa adalah setinggi 321 m.
Mengulas lanjut, Burns berkata, projek pembinaan itu dijalankan China Railway Construction Corporation dan ia direka bentuk oleh firma seni bina NORR.
Katanya, pihaknya juga sedang berunding dengan operator hotel terkemuka mengenai hartanah itu yang akan mengekalkan nama Ciel apabila dibuka kelak.
“Apabila kami mula merancang projek ini, kami tahu ini bukan lagi ‘Lamborghini’ dan ‘Ferrari’ sahaja.
“Dubai adalah tempat tumpuan ketika ini dan kami percaya pasarannya akan terus berkembang,” katanya yang turut berdepan cabaran pandemik Covid-19 semasa pembinaannya.
Burns berkata, beliau menjangkakan akan berlaku kemasukan pelawat dari China ke negara itu susulan pembukaan semula sempadan negara yang ditutup bagi mengekang penularan Covid-19 sebelum ini.
“Ia akan meningkatkan semula sektor pelancongan.
“Terdapat banyak permintaan perjalanan di Dubai dan saya berpendapat kehadiran pelancong itu akan memberi impak yang sangat positif kepada semua sektor, bukan saja pelancongan dan hospitaliti,” katanya. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO