Sejak beberapa hari lalu, tular sebuah klip rakaman video rancangan bual bicara Indonesia bersama bekas pemain badminton nombor satu dunia, Taufik Hidayat, yang dikatakan tidak berpuas hati dengan pengiktirafan diterima Datuk Lee Chong Wei apabila tersenarai dalam Hall of Fame Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2023.
Menerusi klip video tersebut Taufik dilihat seolah-olah mempersoalkan pemilihan Chong Wei untuk berada dalam senarai itu.
Lebih membuatkan ramai tidak berpuas hati apabila Taufik dikatakan mengaitkan pemilihan Chong Wei itu dengan ibu pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang berada di Kuala Lumpur.
“(Beliau dipilih kerana menang) tiga kali pingat perak (Olimpik), paling lama di kedudukan (pemain) nombor satu,” kata hos rancangan berkenaan.
“Kalau ada yang menang satu emas (Olimpik) dan 10 pingat perak (Olimpik), anda pilih yang mana?” tanya Taufik.
Taufik, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Athens 2004, bagaimanapun enggan mengakui jika dia lebih layak untuk tersenarai, malah beliau juga enggan meletakkan dirinya sebagai pemain yang lebih baik daripada Chong Wei.
“Tidak juga (lebih baik). Kan saya sudah cakap, itu (tersenarai dalam Hall of Fame) hanya tulisan semata-mata. Bukan sesuatu yang perlu saya ambil berat.
“Tetapi Lin Dan memang layak disenaraikan,” katanya.
Baru-baru ini, Chong Wei dan ‘musuh’ tradisinya dari China, Lin Dan dipilih dalam Hall of Fame BWF 2023.
Majlis penganugerahan berlangsung pada 26 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu merupakan pemain badminton paling berjaya Malaysia, dengan tiga pingat perak Sukan Olimpik iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 serta tiga gelaran naib juara kejohanan dunia pada 2011, 2013 dan 2015. – JURNAL