Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan ucapan tahniah kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan menang pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Turkiye.
“Tahniah kepada Presiden H.E @RTERdogan kerana dipilih sebagai Presiden Republik Türkiye ke-13 dalam pilihan raya Presiden baru-baru ini.
“Türkiye akan terus memainkan peranan yang membina sebagai pemain serantau dan global yang penting.
“Malaysia berharap untuk bekerjasama rapat dengan Türkiye untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala kami yang sedia ada,” ciap beliau.
Kemenangan Erdogan sekali gus melanjutkan pemerintahannya untuk lima tahun lagi.
Lembaga Pilihan Raya negara itu mengesahkan dengan 99 peratus undi selesai dikira, kiraan rasmi menunjukkan Erdogan peroleh 52.14 peratus sokongan.
Sementara itu seteru Erdogan, Kemal Kilicdaroglu menerima 48.09 peratus undi secara keseluruhannya.
Kilicdarogu bagaimanapun mendakwa, pilihan raya berlangsung dalam keadaan tidak adil.
Pusingan pengundian pertama pada 14 Mei menyaksikan tiada pihak mendapat 50 peratus undi mutlak.
Erdogan menjadi Perdana Menteri pada 2003 dan menyusul menjadi Presiden pada 2014.
Pilihan raya kali ini disifatkan paling signifikan buat Turkiye.
Pembangkang sebelum ini yakin ada peluang menyingkirkan Erdogan selepas kemerosotan popularitinya, gara-gara krisis kos sara hidup.
Sebaliknya, kemenangan ini akan mengukuhkan lagi imejnya selepas mengubah dasar domestik, ekonomi, keselamatan dan dasar luar.
Ini termasuk meletakkan imejnya sebagai kuasa serantau dengan peranan semakin besar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – JURNAL