Hungary dinobatkan sebagai negara ‘penuh kasih sayang’ apabila pasangan di jajahan Eropah itu dilaporkan lebih setia dan menyayangi antara satu sama lain.
Kumpulan penyelidik dari Universiti Wroclaw di Poland melakukan kajian terhadap sejumlah responden dari 45 negara merentasi enam benua mengenai perasaan mereka terhadap pasangan masing-masing.
Kajian itu dilakukan bagi mencari negara mana yang merekodkan skor paling tinggi untuk pasangan kekasih atau suami isteri paling bahagia di dunia.
Hungary unggul di kedudukan pertama dengan nilai skor sebanyak 7.94 dari sembilan, diikuti Malaysia dan Portugal di tempat kedua serta ketiga dengan jumlah skor 7.88.
Negara yang merekodkan skor tertinggi bagi pasangan kekasih atau suami isteri tidak bahagia adalah Pakistan dengan skor sebanyak 6.49, manakala United KIngdom pula tidak tersenarai dalam kajian tersebut.
Selain itu, para penyelidik juga mendapati terdapat hubung kait positif antara hubungan bahagia pasangan dan bagaimana negara mereka membangun.
“Hipotesis yang kami temukan adalah, proses modernisasi mungkin mempengaruhi hubungan kasih sayang setiap pasangan.
“Kami juga mendapati, sikap dan perasaan kasih sayang diwarisi secara biologi,” menurut kajian tersebut.
Kajian terdahulu menunjukkan pasangan yang serasi secara ‘biologi’ boleh menjadi pasangan yang ideal hanya dalam masa ‘dua minit’ selepas mengadakan pertemuan.
Kajian yang dilakukan universiti tersebut melibatkan seramai lebih 9,000 individu di seluruh dunia.
Mereka dikehendaki menilai antara satu hingga sembilan mengenai perasaan terhadap pasangan masing-masing.
Antara isu yang ditanya termasuk menghormati pasangan, komitmen dalam hubungan dan kemesraan antara mereka.
10 negara pasangan paling bahagia:
1. Hungary
2. Malaysia
3. Portugal
4. Amerika Syarikat
5. Itali
6. Slovenia
7. Mexico
8. India
9. Australia
10. Poland
10 negara pasangan paling tidak bahagia:
1. Pakistan
2. Uganda
3. Korea Selatan
4. Jordan
5. Austria
6. Jerman
7. Nigeria
8. Vietnam
9. Turkiye
10. China
Semoga berkekalan hingga ke akhir hayat. – JURNAL