Polis sedang memburu seorang lelaki yang memakai baju kurung ketika menyamun sebuah kedai runcit di Padawan, Sarawak, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis menerima laporan daripada wanita berusia 20 tahun yang juga pekerja premis berkenaan pada 22 Mei lalu.
Beliau berkata, polis turut mengesan video mengenai kejadian yang tular di laman sosial jam 11.39 malam tadi.
Katanya, berdasarkan laporan diterima, mangsa bersama rakan sedang bekerja.
“Tiba-tiba seorang lelaki berpakaian wanita serta membawa pisau masuk lalu merampas mesin juruwang dan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abang Zainal berkata, pihaknya mendapati terdapat dua suspek dalam kejadian itu dengan seorang menunggu di luar menggunakan sebuah motosikal.
Katanya, kedua-dua suspek dipercayai orang tempatan berdasarkan dialek pertuturan mereka.
Beliau berkata, mangsa dan rakan sekerjanya tidak mengalami kecederaan.
Justeru, Abang Zainal berkata, polis menubuhkan pasukan khas untuk mengesan suspek dengan kerjasama pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) lain serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabit bersalah boleh dihukum penjara selama 20 tahun dan sebat,” katanya. – JURNAL